Kisah ini mengandungi
perkara-perkara yang sukar difahami pada logika akal. Sebarang keraguan
hendaklah dirujukkan kepada yang ahli. (baca selanjutnya untuk
mengetahui keahlian yang dimaksudkan)
Pakcik Zainuddin selalu
sakit pada bahagian kepala, kaki, pinggang dan belakang. Sekian lama
beliau menderita menyebabkan mereka berpindah-randah hinggalah pada saat
ini mereka menetap di sebuah pondok pengajian. Namun ternyata Pakcik
Zainuddin telah tersilap percaturan kerana keadaan penyakitnya bertambah
parah setelah menetap di pondok tersebut.
Apabila kesakitan pada
mana-mana bahagian menyerang, beliau akan kesakitan yang teramat
sangat. Maka mahu atau tidak terpaksalah beliau berikhtiar ke sana ke
mari. Keadaan menjadi lebih sulit apabila isterinya yang mengidap
kencing manis juga diserang masalah yang hampir sama. Sudah jatuh
ditimpa tangga, semasa bermula proses rawatan bersama kami, kedua
kakinya isterinya terpaksa dipotong oleh pihak hospital kerana
penyakitnya itu sudahpun sampai ke tahap kritikal.
Selain
sakitnya yang tidak berkesudahan, Pakcik Zainuddin juga mengalami
berbagai-bagai bentuk gangguan baik semasa tidur mahupun jaga sepanjang
tempoh beliau berikhtiar mengubati penyakit misterinya ini. Berbagai
pengalaman yang telah beliau tempuhi dan kos rawatannya mencecah lebih
seratus ribu ringgit namun semuanya tidak menjadi. Antaranya pengalaman
rawatan beliau yang diceritakan kepada kami;
Berulang alik ke
Selangor beberapa kali, walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang
teramat-sangat semasa rawatan, alhamdulillah gangguan tersebut berjaya
dikeluarkan namun ianya tetap kembali sebelum sempat pakcik Zainuddin
kembali ke rumah.
Pernah juga seorang perawat telah meminta
sedikit tanah kubur dari sebuah perkuburan cina, beliau melaksanakannya
kerana terlalu terdesak dan akibatnya beliau tidak dapat tidur selama
beberapa hari kerana diganggu hantu cina. Ada juga perawat yang meminta
sedikit daging korban beserta tulang untuk tujuan rawatan, akibatnya
beliau telah diganggu oleh puluhan makhluk siang dan malam.
Antara rawatan lain yang beliau jalani ialah mandi di sebuah kawasan
peranginan bersama isterinya dengan keadaan lengkap berjubah dan
beserban pada pukul 1 pagi. Ini juga beliau lakukan namun hasilnya tetap
sama walaupun telah menyebabkan beberapa pemuda yang berada di kawasan
berkenaan bertempiaran kerana terserempak semasa mereka berkeadaan serba
putih.
Kebanyakkan perawat yang beliau temui hanya boleh
menceritakan keadaan yang menimpanya sewaktu itu namun tidak mampu untuk
mengeluarkan gangguan-gangguan tersebut. Sebidang tanah dan rumah yang
pernah dibelinya terpaksa dijual dengan harga yang cukup murah demi
untuk menanggung kos rawatan mereka suami isteri lagipun mereka tidak
boleh menetap di mana-mana pun tanpa gangguan yang memeritkan.
Walaupun Pakcik Zainuddin mengalami penyakit misteri yang
berbagai-bagai, namun beliau ternyata memiliki berbagai-bagai pengalaman
yang cukup sukar untuk dijelaskan. Pakcik Zainuddin pernah dihanyutkan
arus deras semasa banjir semasa kecilnya namun yang menghairankan,
beliau langsung tidak tenggelam hinggalah beliau diselamatkan. Beliau
juga pernah terjatuh ke dalam perigi dan berada didalam air selama
hampir 2 jam sebelum diselamatkan oleh bapanya. Menurut Pakcik
Zainuddin, beliau boleh bernafas seperti biasa sewaktu berada di dalam
air perigi tersebut.
Keadaan demi keadaan dan perawat demi
perawat yang berlanjutan selama hampir 7 tahun, namun tidak berkesudahan
hinggalah pada suatu hari semasa beliau berada di sebuah rumahnya
berhampiran Pusat Rawatan Islam Nasrullah, sesudah solat zohor, beliau
menadah tangannya berdoa dengan keadaan tubuh badannya yang kesakitan
tanpa sebab “Ya Allah, Kau tunjukkanlah padaku bomoh mana yang boleh
merawat aku”. Sebaik beliau mengaminkan doanya, jirannya datang bertamu
dan terus sahaja memberitahu bahawa di sini ada Pusat Rawatan.
Sebaik mendengar penjelasan jirannya itu, terus sahaja beliau mencapai
motosikalnya dan terus ke tempat kami dengan bantuan jirannya itu. Namun
kami perawat tidak ada di situ dan terpaksalah beliau membuat panggilan
pertamanya kepada kami dan terpaksa juga beliau bersama jirannya itu
menunggu kami hampir sejam.
Inilah pertemuan pertama kami dengan
Pakcik Zainuddin dan alhamdulillah dengan rawatan pertama, kesakitan
yang selama ini menghantuinya hilang buat pertama kalinya. Adalah
menjadi kebiasaan mereka yang mengalami penyakit yang bertindih-tindih
seperti ini ada gangguan saka dan gangguan saka ini mahu tidak mahu
mestilah dikeluarkan terlebih dahulu agar proses rawatan selanjutnya
lebih mudah. Setelah saka yang menganggu dirinya ketika itu diputuskan,
keadaan Pakcik Zainuddin tiba-tiba berubah menjadi seperti sediakala dan
ianya amat menghairan dan sekaligus menggembirakannya.
Kegembiraan Pakcik Zainuddin hanya sehari, beliau diserang lagi dan
sekali lagi kami bertemu. Ternyata ada riak-riak ketidakpuasan hati
dalam diri Pakcik Zainuddin. Tidak dinafikan, mana-mana pesakit setelah
mereka memutuskan saka dan mengeluarkan belanja yang banyak, namun
sakitnya berulang akan rasa tidak puashati. Namun setelah rawatan dibuat
ternyata Pakcik Zainuddin memiliki saka dari jenis yang lain pula.
Namun keyakinan pada dirinya terhadap rawatan yang kami lakukan,
membuatkan beliau sekali lagi sanggup memutuskan sakanya dan sekali lagi
kesakitan yang dialaminya hilang seperti sediakala.
Keadaan ini
juga tidak lama, Pakcik Zainuddin datang lagi dan tetap dengan masalah
yang sama iaitu saka dan pendamping. Tidak kurang dari empat jenis saka
dan berjenis-jenis pendamping kami putuskan termasuk juga saka dari
pihak isterinya sendiri hinggalah satu hari, gangguan yang dikeluarkan
mengakui yang ianya datang dari jalan sihir. Proses rawatan seterusnya
semuanya berkisar dengan masalah sihir dan gangguan yang datang
bersilih-ganti.
Lazimnya di sinilah satu ujian besar kepada
mereka yang menderita masalah seumpama ini. Kurangnya keyakinan kepada
perawat dan masalah biaya yang besar terutama bagi masalah saka,
pendamping dan jenis-jenis sihir tertentu, akan menyebabkan pesakit
berputus asa dan mula mencari perawat lain, maka masalah seperti ini
seakan tiada kesudahannya. Bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan
mudah dan murah. Sekiranya tidak sanggup berkorban maka kesembuhan
mungkin sukar. Berubat juga adalah ibadah maka perlu ada keihklasan dan
kesungguhan. Kami hanya boleh membantu dengan cara, ilmu dan persyaratan
yang dikurniakan kepada kami sedangkan kesembuhan hanya milik Allah
swt.
Keadaan Pakcik Zainuddin dan isterinya yang diserang
bersilih-ganti baik dari jalan sihir dan gangguan berlarutan selama
hampir tiga bulan dan selama inilah juga kami perawat berulang alik ke
berbagai-bagai lokasi seperti di pondok pengajian, rumahnya, hospital,
rumah-rumah saudara mereka dan sebagainya kerana keadaan memaksa Pakcik
Zainuddin dan isterinya berpindah-randah.
Berbagai bentuk sihir
yang sukar dan pelik digunakan bagi menghancurkan Pakcik Zainuddin dan
isterinya namun alhamdulillah kesemuanya berjaya kami patahkan. Pernah
isterinya dikenakan sihir sembunyi ruh hingga beliau koma selama hampir
dua minggu namun ianya juga berjaya kami patahkan dengan izin Allah.
Kesungguhan Pakcik Zainuddin untuk merawat diri dan isterinya sungguh
kuat hinggalah pada suatu hari di Pusat Rawatan kami, sesuatu keadaan
yang sangat berbeza berlaku. Menurut mediator kami Puan Rodiah, beliau
dapat merasakan semasa di rumahnya lagi sebelum Pakcik Zainuddin membuat
panggilan bahawa terasa kedinginan dan kenyamanan yang sungguh luar
biasa walaupun ketika itu cuaca panas. Sebaik bertemu dengan Pakcik
Zainuddin, suasana tersebut bertambah ketara namun Pn Rodiah masih tidak
tahu sebabnya. Setelah kesemua gangguan pada tubuh Pakcik Zainuddin
dikeluarkan, saya dapat merasakan adanya sesuatu yang tersembunyi tetapi
berada bersama kami. Setelah diamati secara tafakur ternyata adanya
lingkaran tali yang bercahaya di pinggang Pakcik Zainuddin dan ianya
bersambung kepada sesuatu yang bercahaya dan bersinar terang hingga
tidak dapat dilihat di dalamnya namun saya dapat merasakan ada sesuatu
di dalam cahaya tersebut. Melalui mediator saya cuba memanggilnya keluar
ternyata ianya bersambut tetapi dengan keadaan yang sangat berbeza dari
kebiasaannya.
Alhamdulillah, dengan izin Allah kami dapat
berdialog dengannya. Ternyata suaranya, peribadinya, pertuturannya,
akhlaknya sungguh mulia dan mempersonakan. Saya cuba berwaspada agar
tidak tertipu namun aura kehadirannya begitu syahdu dan mengasyikkan.
Terasa amat tenang dan tenteram apabila berdialog dengan insan ini dan
perasaan tenang dan tenteram yang luar biasa ini terasa hampir seminggu
lamanya.
Saya bersikap berhati-hati menjaga pertuturan dan adab
apabila berbicara dengan hamba Allah di hadapan kami ketika itu agar
tidak tersilap percaturan. Dari dialog saya bersamanya ternyata beliau
pernah bertemu dengan Pakcik Zainuddin pada zaman kanak-kanaknya dan
selalu memperhatikan kami melakukan rawatan dan memberi beberapa nasihat
yang amat berguna. Sebelum berpisah saya memohon maaf kepadanya
sekiranya melakukan sebarang kesalahan dan tidak lupa memintanya
mendoakan kami semua.
Sekiranya setelah membaca kisah ini dan
terasa tersinggung, keraguan dan kemusykilan, tanyakanlah kepada yang
ahli. Di sini ingin sekali saya memberi sedikit tip untuk membezakan
yang ahli atau tidaknya seseorang itu untuk persoalan seumpama ini.
Harus difahami bahawa ilmu itu ada 2 jenis iaitu ilmu lidah dan ilmu
hati. Ilmu lidah ialah semua bentuk ilmu yang boleh dipelajari melalui
guru, kitab/buku, mendengar, melihat dan sebagainya manakala ilmu hati
ialah ilmu dari Allah swt terus ke hati seperti firman Allah dalam surah
As-Syams ayat 8 yang bermaksud “dan diilhamkan kepadanya yang salah dan
yang benar”..
Dan harus diingat, ilmu jenis ini juga adatnya
jarang diilhamkan terus kepada seseorang itu tanpa sebab, maksudnya
mereka yang benar mujahadah, nawaitu dan kaedahnya (mesti mengamalkan
syariat yang benar) sahaja lazimnya dianugerahkan ilmu ini. Mereka ini
pula sukar dikenali dan di sini saya berikan tip ini untuk mengenali
golongan ini.. Tanya kepada mereka apakah martabat ihsan dan bagaimana
mencapainya tetapi sebelum bertanya pastikan nawaitu kita benar kerana
Allah Taala kerana kalau niat kita tak betul buruk akibatnya..
Sebenarnya banyak bentuk soalan lain boleh ditanyakan tetapi martabat
ihsan merupakan matlamat utama golongan ini maka ini menjadikan mereka
arif tentang persoalan ini.
Golongan ilmu lidah boleh menjawab
apa itu martabat ihsan tetapi tidak tahu cara bagaimana untuk
mencapainya dan golongan yang ada ilmu hati tahu apa itu martabat ihsan
dan tahu bagaimana untuk mencapainya secara terperinci atau
sekurang-kurangnya tahu siapa yang boleh membantu kita mencapai martabat
ihsan.
Tak semestinya mereka yang ada sarjana dari mana-mana
pengajian tinggi Agama, mufti, kadhi, ustaz atau seumpamanya memiliki
ilmu hati ini dan sekiranya golongan seperti ini memiliki ilmu hati ini
maka mereka terlebih aula. Jadi sekiranya ada diantara pembaca yang ada
title seperti di atas, sudi-sudilah tanya soalan seperti di atas kepada
diri sendiri dan jujurlah dengan apa yang dijawab oleh hati kita.
Insyaallah kalau kita manusia yang benar dan jujur kepada Allah, akan
menemukan sesuatu yang tak ternilai di dalam diri kita sendiri.
Sekiranya sudah ditemui golongan yang ada keahlian seperti ini, maka
tanyalah apa yang dimusykilkan, insyaallah ada jawapannya dan tanda
jawapan itu benar ialah akan menambahkan keimanan kita , insyaallah.
“dan apabila dibacakan ayat keterangan Kami, bertambahlah keimanan
mereka” firman Allah…..
Dialog saya bersama insan ini membuatkan
Pakcik Zainuddin terkenangkan zaman remajanya dan mengkisahkan kejadian
ini kepada kami;
Bapa Pakcik Zainuddin merupakan seorang yang
sangat warak dan banyak bersahabat dengan mereka yang menjalani riadah
kerohanian termasuk seorang pakcik yang sangat berbeza dari yang lain.
Pakcik ini saya namakan sebagai Abdullah, sangat menyukai Pakcik
Zainuddin. Pakcik Abdullah pernah memberi suatu tawaran yang hebat pada
Pakcik Zainuddin, katanya “ilmu apa yang hang mahu, habaq kat pakcik!”
maka Pakcik Zainuddin yang masih remaja memberi jawapan “ilmu
perempuan!!”.. Pakcik Abdullah hanya tersenyum sambil berkata “Allah nak
macam tu!!”.. maka dia pun mengajarkan Pakcik Zainuddin akan kaedahnya.
Sewaktu mencuba ilmu itu, Pakcik Zainuddin memanggil seekor ayam dan
ternyata ayam tersebut datang padanya tanpa berlengah.. Mashaallah!!
Namun ilmu tersebut hilang darinya setelah beliau mula mengambil minuman
keras sewaktu dalam tentera. Memang Pakcik Zainuddin menyesal meminta
ilmu yang bukan-bukan namun seperti yang dikatakan Pakcik Abdullah
“Allah nak macam tu!!”…
Menurut Pakcik Zainuddin lagi, sewaktu
bapanya dan Pakcik Abdullah berbual pada suatu hari, timbul keinginan
dalam hatinya untuk berjumpa dengan Pakcik Abdullah secara sendirian,
maka setelah Pakcik Abdullah hendak balik maka Pakcik Zainuddin pun
terus berlari ke sebuah hentian bas berhampiran kerana beliau pasti
Pakcik Abdullah akan menunggu bas di situ. Berjam-jam Pakcik Zainuddin
menunggu namun Pakcik Abdullah tidak juga muncul sedangkan jarak
rumahnya dengan hentian bas tersebut hanya beberapa rantai sahaja dan
tidak ada pula jalan lain selain jalan yang beliau lalu. Itulah kali
terakhir Pakcik Zainuddin bertemu dengan Pakcik Abdullah.
Keadaan
Pakcik Zainuddin sudah banyak berubah, kesakitan dan gangguan yang
beliau alami selama ini sudah hilang entah ke mana. Alhamdulillah, kini
beliau sudah sihat kembali setelah hampir tiga bulan mendapat rawatan
dari kami. Semoga beliau pulih sepenuhnya dengan rahmat dan kurnia Allah
swt..amin.
Wabihi wallahu `alam.