Wednesday, 10 June 2015

Iktibar ; Suami Memberi Izin Syaitan Menyetubuhi Isteri




Pesakit ini kami namakan Zizan, merupakan seorang yang agak lurus dan memang tidak suka mencari masalah. Kehidupan Zizan bersama isteri dan dua orang anak perempuan mereka kerap kali dilanda kesempitan dan kesukaran, namun mereka dapat mengharunginya. Zizan bekerja dengan iparnya iaitu suami adik perempuannya yang membuka bengkel kereta. Sikap Zizan yang lurus dan sangat rajin dan cekap dalam menjalankan tugasnya rupanya telah dipergunakan iparnya untuk kepentingan diri. 

Kalau diikut gaji yang dijanjikan kepada Zizan memang ianya cukup lumayan tapi malangnya gaji yang dibayar tidak pernah seperti yang dijanjikan namun Zizan hanya berdiam diri kerana tidak mahu mencari masalah. Akibatnya keluarga Zizan sendiri yang terpakasa menanggung kehidupan yang serba kekurangan dan perkara ini menimbulkan kecurigaan isterinya Mahani yang mula tidak berpuashati dengan kehidupan mereka yang sering keputusan wang. Sikap Mahani yang banyak bertanya itu ini akhirnya membawa padah.

Zizan secara tiba-tiba menjadi  seperti orang sasau, kerap menyendiri sambil asyik berbual-bual dan bergelak-ketawa dengan apa yang dianggapnya sebagai bidadari yang selalu menemaninya. Beliau juga mula mendapat bermacam-macam perkhabaran dari mereka dan mula merasakan dirinya sudah tidak lagi berada di alam manusia sebaliknya di alam kayangan. Zizan mula bijak berbicara dan kerapkali menegur mereka disekelilingnya yang dianggap  perlu diperbetulkan. Beliau kerap kali dilihat melompat ke sana kemari hingga pakaiannya kotor kerana disangkanya sedang terbang bersama para bidadari itu dan apa yang lebih membimbangkan isterinya, Zizan mula bersikap ganas.

Kerapkali Zizan didatangi berbagai makhluk yang membisikkan berbagai-bagai perkara hingga adakalanya ia bertindak seperti orang gila dan bertindak diluar dugaan. Pernah juga Zizan didatangi sejenis iblis yang menyamar sebagai bunian meminta untuk menyetubuhi isterinya dan Zizan tanpa berfikir panjang telah membenarkannya serta memaklumkan isterinya agar tidak menolak, Masya Allah. Akibatnya, Mahani  isterinya telah diperkosa dengan teruk dalam keadaan sedar hingga turun darah dan seluruh badannya kesakitan hingga kelihatan seperti perempuan yang baru melahirkan bayi. Sebenarnya perkara seperti ini memang kerap berlaku didalam keluarga yang mengalami masalah saka atau sihir yang berpanjangan, maka tidak hairanlah ramai ahli keluarga terutama perempuan, kerap mimpi bersetubuh dan melahirkan bayi.

Tidak tertahan dengan perubahan pada suaminya dan penderitaan yang terpaksa ditanggung,  Mahani menghubungi kami.  Melalui mediator, 3 ekor syaitan betina yang selama ini mendampingi dan menipu Zizan sebagai bidadari ditarik keluar dan 7 ekor syaitan lain juga dikeluarkan. Mereka ini sebaik sahaja berada di dalam mediator, terus sahaja meminta pulut kuning dan telur kerana kelaparan. Ternyata mereka ini adalah saka tahap satu dari keturunan Zizan sendiri.

Memandangkan kesemua gangguan pada Zizan ada perjanjian atau MOU yang perlu dibatalkan kami syorkan kepada Zizan yang sudah mula sedar dan waras, agar memutuskan saka-saka tersebut namun kami agak terkejut kerana Zizan seolah-olah tidak mahu membatalkan MOU itu. Apabila tuan punya badan tidak memberi  keizinan maka semua usaha rawatan terpaksa dihentikan. Namun kami tetap menahan kesemua syaitan-syaitan itu selama 7 hari mudah-mudahan Zizan dan Mahani dapat berfikir tanpa diganggu oleh saka-saka itu.

Namun sikap Zizan selepas itu tidak juga berubah bahkan lebih buruk walaupun kesemua sakanya sudah ditahan. Selang beberapa hari, sekali lagi Mahani menghubungi kami dan dari rawatan susulan ini beberapa ekor syaitan lagi dikeluarkan tetapi kali ini mereka datang dari jalan sihir. Dari keterangan jin dan syaitan yang ditarik masuk ke dalam mediator, mereka telah dihantar oleh iparnya sendiri melalui jalan makanan yang bertujuan untuk menundukkan  Zizan supaya tetap bekerja bersama mereka tanpa menghiraukan tentang bayaran.

Sebenarnya ipar Zizan  juga merupakan seorang bomoh dan kehidupan keluarga ini terlalu fanatik kepada benda-benda khurafat manakala soal agama dan iman tidak langsung dititik beratkan. Begitu juga dengan Zizan, beliau juga terlalu berminat dengan alam mistik dan tanpa agama dan iman, maka dengan mudah syaitan mengkotak-katik pemikiran dan menguasai beliau sepenuhnya hingga tidak dapat membezakan mana yang haq dan mana yang batil maka tidak hairanlah beliau seperti tidak mahu membuang apa yang datang kepadanya. Bagi orang-orang seperti ini, kehadiran perkara-perkara ini seperti orang mengantuk disorong bantal, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.

Setelah dinasihatkan oleh adik perempuan dan iparnya, Zizan akhirnya telah menemui seorang perawat yang khabarnya  merawat secara Islam, dan melalui perawat ini akhirnya Zizan telah menyediakan setalam pulut kuning dengan  beberapa biji telur di atasnya dan dipacak serta dinyalakan sebatang lilin di atas pulut itu. Bagi isterinya Mahani, beliau seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa dan kini hanya menyesali segala apa yang telah berlaku.

Kini Zizan telahpun memperbaharui dan mengemaskini MOU yang lama dan beliau sudah bergelar tuan kepada saka-saka itu, dan sejak itu beliau sangat membenci kami perawat Nasrullah. 

Buat pengetahuan kita semua, lazimnya saka pada peringkat awal hanya akan mengikuti dan memerhati bakal tuannya dari jauh dan ianya akan mula bertindak pada masa yang sesuai iaitu semasa lalai, dalam keadaan lemah atau sudah uzur, tetapi sekiranya bakal tuannya ini tiba-tiba menghadapi masalah samada gangguan atau sihir, saka ini akan mengambil kesempatan untuk terus masuk ke dalam tubuh tuannya itu. Apabila berlaku pertindihan saka dan sihir seperti ini, maka pesakit akan cukup menderita dan rawatan akan menjadi sangat sukar dan mahu tidak mahu, saka-saka ini mestilah diputuskan terlebih dahulu sekiranya ingin melakukan rawatan. Namun bagi kami di PRINAS, untuk merawat saka, keizinan tuan punya badan adalah kemestian dan sekiranya tuan saka ini sudah terlalu uzur, barulah keizinan dari waris pesakit dibolehkan.

Wabihi wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment