Friday, 8 May 2015

Iktibar ; Sihir Puja Burung



Lanjutan dari satu panggilan telefon dari seorang wanita yang saya namakan sebagai Noor, satu temujanji dibuat dan beliau datang ke PRINAS bersama suami dan keluarganya. Ternyata Noor seorang yang tinggi lampai tetapi terlalu kurus dan kelihatan terlalu lemah.

Menurut Noor beliau selalu sahaja sakit di dalam perut dan pada bahagian dada di bawah susu kirinya dan sering bermimpi didatangi bayi-bayi. Sebagai muqaddimah rawatan, kami mulakan dengan pembacaan beberapa ayat Al-Quran dan ternyata kesakitannya semakin ketara. Perutnya seperti dihiris-hiris dan menyucuk-nyucuk sedangkan airmata, air hidung dan air liurnya tiba-tiba sahaja meleleh dengan begitu banyak hingga terpaksa disediakan sebuah bekas untuk menadah kesemua cairan yang keluar itu.

Melihat keadaan Noor yang jelas terkesan dengan pembacaan ayat-ayat Al-Quran, maka sudah jelas adanya gangguan pada dirinya. Segera ayat-ayat untuk menarik gangguan ke dalam mediator kami bacakan dan ternyata terdapat begitu banyak gangguan dalam dirinya. Satu persatu kami keluarkan dan akhirnya muncul tiga orang nenek yang terlalu tua. Mereka mengakui sebagai nenek moyang keluarga Noor.
Sebaik kesemua gangguan dikeluarkan ternyata sudah berlaku banyak perubahan pada diri Noor. Cairan yang keluar sebelum ini sudah berhenti dan kesakitan di dalam perutnya pun menghilang kecuali sakit pada bahagian dadanya, masih tidak menunjukkan sebarang perubahan. Beberapa kali kami cuba merawat kesakitan itu namun tetap juga tiada perubahan dan lebih menyedihkan punca kesakitan itu juga tidak dapat dikesan.

Kami sarankan agar Noor memutuskan saka yang ada pada dirinya terlebih dahulu kerana kerap kali saka pada diri seseorang mampu melindungi  masalah yang sedang dialami dari dikesan. Tidak hairan mengapa ramai yang menderita sakit yang jelas kelihatan namun pemeriksaan gagal mengesan sebarang penyakit baik secara medikal mahupun rawatan alternatif.

Setelah perbincangan keluarga dibuat akhirnya Noor bersetuju memutuskan saka tersebut dan segera kami laksanakan proses tersebut namun kesakitan di dada Noor masih tidak berubah dan puncanya juga masih samar. Memandangkan proses rawatan sudah terlalu panjang maka ianya ditunda ke hari lain. Air yang sudah dibacakan zikrullah dan ayat-ayat Al-Quran kami bekalkan untuk diminum dan dibuat mandi mudah-mudah dapat membantu Noor menghadapi penyakitnya.

Keesokan harinya Noor membuat panggilan lagi mengatakan dada beliau terlalu sakit dan lanjutan dari itu kami bertandang ke rumahnya. Zikrullah yang kami bacakan ternyata tidak memberi sebarang kesan pada diri Noor mahupun kesakitan pada dadanya. Namun ada perawat kami yang dapat mengesan adanya gangguan tetapi tidak dapat untuk dipastikan. Timbul perasaan khuatir dalam diri saya sekiranya Noor mengalami penyakit barah buah dada lalu saya sarankan agar Noor datang lagi ke PRINAS untuk membuat pemeriksaan.

Selang dua hari Noor datang ke PRINAS bersama suami dan keluarganya. Sebagaimana yang telah dipersetujui, kami menjalankan pemeriksaan QRMA ke atas Noor namun ternyata tiada sebarang masalah pada buah dadanya.

Menurut Noor lagi, beliau telah didatangi sejenis lembaga seperti langsuir yang seolah-olah memarahinya sesudah kami perawat Nasrullah berkunjung ke rumahnya sebelum ini. Ternyata masih ada gangguan yang masih tidak dapat kami kesan puncanya. Sekali lagi kaedah mediator kami gunakan dan akhirnya langsuir yang mengganggu Noor dapat diseru masuk namun ia hanyalah penghuni kawasan kediaman Noor sahaja. Beberapa ekor jin lagi dapat kami pindahkan ke dalam mediator namun kesemuanya mengatakan hanya gangguan biasa sahaja hinggalah pada satu keadaan saya diperlihatkan imej beberapa ekor burung kecil yang dicabut bulunya lalu dicucuk dengan buluh kecil seperti satey lalu dipanggang separuh masak. Burung-burung itu akan dibiarkan mereput begitu sahaja dan mangsa akan menderita kesakitan dan dagingnya akan mula rosak seperti daging burung tersebut. Akibat dari daging tubuh yang rosak, mangsa berkemungkinan akan mengalami kanser payu dara bahkan ada jin yang mengatakan sudah ada ketulan dibawah susu kiri Noor.

Saya terus menguji jin-jin itu dengan bertanya “hampa ni jin jenis burung kan?” mereka terdiam dengan soalan ini. Saya biarkan jin-jin itu seketika tanpa sebarang dialog sambil memerhati dan ternyata makin lama jin-jin tersebut semakin kesakitan. “Hampa sakit ka?” tanya saya, “sakit la!” jawab jin-jin tersebut lalu saya tanya lagi tentang kesakitan mereka. Dari dialog ini ternyata jin-jin tersebut dari jenis burung yang telah dipergunakan manusia zalim. Hakikatnya jin-jin ini juga kesakitan dan sebagaimana mereka sakit begitulah kesakitan pada diri Noor. Saya menawar diri untuk merawat kesakitan yang mereka alami dan mereka begitu berbesar hati. Ayat dan doa-doa tertentu saya bacakan agar kesakitan pada  badan jin-jin tersebut hilang dan alhamdilillah akhirnya berjaya.

Jin-jin tersebut juga telah diikat agar tidak dapat melarikan diri. Sekali lagi saya menawar diri untuk membuka ikatan-ikatan tersebut dan mereka bersetuju dan  Alhamdulillah dapat dirungkai sepenuhnya. Setelah kesakitan dan ikatan  tersebut dihilangkan, ternyata mengembirakan jin-jin tersebut dan pada saat inilah perawat kami dapat mengesan adanya serangan balas dari mereka yang melakukan kerja-kerja terkutuk ini. Segera saya bacakan ayat-ayat pemecah agar segala benteng dan persediaan perang mereka musnah lalu kami seru ruhaniah mereka ini ke dalam mediator. Akhirnya manusia tersebut berada di dalam mediator namun beliau langsung tidak mahu berinteraksi. Zikirullah yang dibacakan dan ternyata membuat ruhaniah tersebut menderita. Mudah-mudahan ia mendapat pelajaran dan tidak mengulangi perbuatan sihir –menyihir ini.

Setelah selesai maka segera saya perintahkan agar jin-jin tadi mengeluarkan segala sihir yang ada dalam badan Noor dan mereka melaksanakannya dengan senang hati. Setelah sihir-sihir dalam tubuh Noor mereka keluarkan, segera saya tanya keadaan Noor dan ternyata kesakitan pada bahagian dadanya selama ini sudah hilang. Pada raut wajah Noor jelas cahaya kegembiraan bercampur kekeliruan. Menurut Noor setelah sekian lama berubat ke sana kemari, inilah pertama kali kesakitan dadanya itu hilang.

Wabihi wallahu a`lam.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;

Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogger.com

No comments:

Post a Comment