Wednesday, 29 April 2015

Iktibar ; Berjanji Dengan Syaitan, Kandungan Jadi Korban




Kisah ini bermula apabila saya didatangi seorang kawan berbangsa India, beliau bertanya jika saya dapat membantu menangani masalah saudaranya, sepasang suami isteri yang mengalami masalah kerasukan yang agak parah. Saya dimaklumkan masalah bermula setelah si isteri, kami namakan sebagai Amutha, mengalami keguguran. Dua kali si isteri mengalami keguguran dan penyakitnya semakin menjadi-jadi setelah keguguran kali kedua dan Amutha  pernah mengejar suaminya dengan parang semasa kerasukan. Masha Allah, parah juga masalah suami isteri ini.

Akhirnya satu temujanji dibuat dan kami bersetuju untuk ke rumah pasangan suami isteri ini. Suami Amutha telah bersetuju untuk menunggu saya di satu tempat sebelum dibawa ke rumah mereka. Malam itu saya berpusing-pusing beberapa kali di tempat yang dijanjikan namun orang yang berjanji untuk menunggu saya tidak langsung kelihatan. Terpaksalah malam itu kami batalkan semua urusan setelah panggilan telefon juga tidak berjawab.

Keesokan harinya saya dikejutkan oleh satu panggilan telefon, “abang, saya tunggu kenapa tak mai?” Begitulah tanya suara itu. Terkejut juga dengan kenyataan ini. Memang beliau ada menunggu kami hingga lewat malam di tempat yang dijanjikan tapi kami tidak nampak dirinya. Masha Allah, hanya Allah Yang Maha Mengetahui apakah yang telah berlaku malam itu. Namun beliau tetap juga mengharap kami datang maka satu temujanji lagi dipersetujui tetapi malam berikutnya  kami akan terus ke rumah mereka berbekalkan alamat yang beliau berikan.

Alhamdulillah sampai juga kami ke alamat yang diberikan tanpa sebarang gangguan. Setibanya kami di sana, ramai juga jiran-jiran pasangan ini yang menunggu. Memang saya agak terkejut bila bertemu pasagan ini. Mereka baru berusia belasan tahun dan hanya dibantu oleh jiran-jiran sahaja tanpa adanya ahli keluarga termasuk ibubapa mereka juga tidak kelihatan. Apabila saya tanyakan perihal ibubapa, mereka hanya mendiamkan diri. Melihatkan keadaan mereka yang seolah-olah tidak senang dengan soalan itu maka saya segera beralih ke topik  yang lain.

Ketika kami berada di rumah itu, Amutha  telah sedar dari kerasukan dan beliau masih boleh mengukir senyuman menyambut kehadiran kami walaupun nampak ada keresahan pada raut wajahnya. Saya juga tanyakan mengapa tidak pergi ke kuil untuk membuat rawatan, jawab mereka, keadaan menjadi lebih teruk selepas pergi ke kuil dan dengan sebab itulah mereka terpaksa mencari alternatif rawatan yang lain.
Bagi memulakan rawatan saya fikir lebih sesuai dengan kaedah zikrullah, maka saya meminta izin untuk menggunakan sebuah bilik yang sesuai untuk berzikir. Kami diberikan sebuah bilik malangnya bilik tersebut adalah untuk menempatkan berhala yang mereka gunakan untuk bersembahyang. Terkedu juga dua orang rakan yang bersama saya pada malam itu. Namun saya teruskan juga untuk berzikir di dalam bilik tersebut. Kita berzikir untuk mengingati Allah dan untuk membantu mereka yang memerlukan, bukannya untuk menyembah patung-patung itu.

Alhamdulillah semasa berzikir inilah saya diperlihatkan satu keadaan dimana ibu Amutha sedang menangis dan merayu-rayu di atas sebuah kubur dan seketika kemudian kelihatan satu lembaga hitam menghampiri. Walaupun ibu Amutha  ketakutan, beliau memberanikan diri juga sambil merayu lembaga itu agar membantunya.  Lembaga itu bersetuju untuk membantu ibu Amutha tetapi bersyarat dan ibu Amutha telah bersetuju dengan syarat itu.

Sebenarnya kisah yang diperlihatkan kepada saya ini telah berlaku berbelas tahun dahulu. Ketika itu, ibu Amutha mengalami masalah kemandulan. Atas desakan perasaannya sendiri, setelah gagal dengan semua bentuk rawatan, akhirnya beliau nekad untuk melakukan satu ritual di atas kubur dan akhirnya beliau berjaya mengandungkan anak pertamanya iaitu Amutha dengan bantuan syaitan yang hadir ketika upacara itu.
Mengikut perjanjian yang termeteri bersama syaitan itu, ibu Amutha mestilah menyerahkan anaknya yang pertama itu kepada syaitan tersebut. Namun naluri sang ibu yang sememangnya kasih kepada anak memaksanya mungkir akan janji tersebut dan akhirnya si ibu juga menderita penyakit yang tidak diketahui sehingga ia membenci Amutha dan tidak mahu lagi mempedulikannya.

Kerana perjanjian inilah akhirnya dua kandungan Amutha menjadi korban sebagai galang ganti anak yang dituntut syaitan tersebut. Air yang kami gunakan diserahkan kepada Amutha agar beliau mandi pada malam itu juga. Kami tetap menuggu di situ untuk melihat kesudahannya. Alhamdulillah, Amutha tersa segar sesudah mandi dengan air yang kami bacakan zikrullah. Tiada lagi perasaan-perasaan negatif yang mengganggu mindanya dan beliau kelihatan amat ceria.

Kisah ini sebenarnya telah berlaku beberapa tahun yang lalu dan saya pun dah hampir  tidak ingat lagi butir-butirnya. Namun semua ini kembali segar dalam ingatan setelah saya didatangi seorang lelaki india bersama isterinya yang sedang mendukung seorang anak. Mereka tersenyum begitu gembira melihat saya ketika itu sedang minum di sebuah kedai. Lelaki ini terus menghampiri saya dan berjabat tangan sambil mengucapkan terima kasih kerana membantu mereka dahulu. Masha Allah mereka masih mengingati saya walaupun sudah sekian lama saya merawat mereka.

Wabihi Wallahua`lam.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;

Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment