Kisah iktibar ini
merupakan sinambungan kepada kisah Dendam Hantu Laut yang kami kisahkan bulan
lalu.
Setelah jin laut dapat
kami keluarkan, ternyata ada gangguan lain pada diri En Nordin. Semasa dalam
satu sesi rawatan kami, ibu mertua En Nordin juga hadir tetapi semasa bacaan
rukyah untuk En Nordin, kami dapati mertua En Nordin ini kelihatan begitu
gelisah seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Pada firasat kami, gangguan
pada En Nordin kali ini ada kaitan dengan mertuanya Pn Zaleha.
Rukyah yang dibacakan
keatas Pn Zaleha ternyata memberi kesan. Tidak sampai 10 minit, jin yang ada di
dalam badan Pn Zaleha mula bersuara. Dari dialog dengan jin ini dapatlah kami
simpulkan bahawa 3 ekor jin telah mendampingi Pn Zaleha dan rumah kediaman
keluarga Pn Zaleha didiami bersama oleh sekumpulan jin dalam bilangan yang
cukup ramai.
Tawaran kami untuk
memindahkan jin-jin ke tempat lain di
terima para jin. Setelah kerja-kerja pemulihan rumah dan pemutusan saka-saka
ini dilaksanakan, barulah terasa ketenteraman rumah ini kembali dan keadaan En
Nordin kembali seperti sediakala. Anak-anak kecil tidak lagi menangis ketakutan
tidak tentu pasal.
Mengikut cerita Pn
Zaleha, beliau memang mengetahui keadaan dirinya yang bermasalah, sejak mereka berpindah ke rumah ini, tetapi
agar tidak menakutkan ahli keluarganya, beliau telah memendamkan penderitaannya
selama 9 tahun. Kerap juga beliau berubat tetapi masih belum berhasil.
Keadaan tenang tidak
lama, serangan berlaku lagi selang beberapa hari. En Nordin mengatakan sakitnya
datang semula dan begitu juga dengan mertuanya Pn Zaleha. Kami bertandang lagi
ke rumah keluarga ini. Inilah kali pertama pengalaman saya dihalau oleh
pesakit. Dengan tegas Pn Zaleha memarahi kami, “buat apa hampa mai! Nak kacau
orang ja! Pi balik!”. Malangnya helah
jin yang sudah merasuk Pn Zaleha sudah kami baca. Rukyah dibacakan, ternyata
berlaku lagi dialog dengan jin setelah di rukyah. Kali ini 5 ekor jin membuat
pengakuan bahawa mereka tidak berpindah tempoh hari sebaliknya dilindungi 2
ekor jin lain yang telah datang secara sihir.
Hasil dialog juga
mendapati bahawa En Nordin telah disihir seseorang pada hari perkahwinannya
setahun yang lalu di rumah berkenaan, malangnya sihir ini adalah dari jenis
sihir yang tertanam, bermakna ianya akan melalui proses pemulihan yang lebih
sukar tambahan pula ianya ditanam betul-betul di tengah ruang tamu di mana
pelamin persandingan mereka ditempatkan.
Proses penyingkiran
jin-jin ini secara rukyah dengan ayat-ayat pemusnah tidak memberi kesan
lantaran memaksa kami menggunakan kaedah rohaniah untuk memusnahkan tempat dan
barang-barang sihir yang ditanam, iaitu terdiri daripada beberapa patung yang
dikapan lengkap dan disimpan kemas dalam sebuah peti seumpama peti besi. Proses
menanam barang-barang sihir ini dibuat oleh jin secara ghaib sebagaimana
dimaklumkan oleh jin-jin yang terbabit.
Alhamdulillah, setelah
zikir pemusnah sihir tertanam ini dilaksanakan, kami berjaya memasuki ruang
yang disihir namun malangnya tidak dapat mengeluarkan jin-jin tersebut kerana
mereka diikat. Dalam proses yang panjang ini,
kebanyakan jin terbabit sudah mula merasa bersalah dan menyesal dengan
perbuatan mereka, ada yang mula memohon ampun kepada Allah dan ada yang memohon
kepada Allah agar melepaskan mereka dari ikatan sihir tersebut. Terharu juga
mendengar jin-jin itu merayu ke hadrat Allah swt namun takdir Allah mendahului
segalanya, jin-jin tersebut gagal dilepaskan dan terpaksa satu keputusan drastik
diambil. Akhirnya setelah semua usaha gagal, jin-jin terbabit merelakan diri
mereka disembelih agar tidak terus-menerus melakukan kezaliman. Masha Allah
terharu pulak mendengar kenyataan jin-jin ini.
Setelah 7 ekor jin
yang terlibat disembelih, kami menjadi terkejut kerana masih terdapat jin yang
lain, apabila kami tanya kepadanya, jin itu menjawab bahawa tugasnya untuk
menjaga barang-barang sihir yang di tanam itu. Jin berkenaan juga gagal
dikeluarkan secara biasa mengakibatkan ia juga terpaksa disembelih. Setelah jin ini
disembelih, kami sangkakan keadaan sudah selesai tetapi tidak berapa lama ada
lagi beberapa jin yang datang memasuki tubuh En Nordin. Setelah ditanya,
ternyata mereka adalah jin-jin yang tinggal berhampiran dengan kediaman ini.
Masha Allah ada lagi jin-jin yang nak ambil kesempatan. Alhamdulillah dengan
izin Allah, jin-jin ini setelah diperintahkan keluar, mereka akur.
Letih, dah tak tahu
nak cakap apa, dalam perjalanan pulang kami terlena dalam kereta. Alhamdulillah
pemandu kami tak lena sama.
Ku sangka panas hingga
ke petang rupanya hujan ditengah hari. Keesokan harinya En Nordin menelefon
kami mengatakan sakitnya datang semula. Masha Allah, apa pulak lah masalahnya
kali ni, bisik hati saya memikirkan ujian yang sedang menanti.
Selagi lagi kediaman
En Nordin bersama keluarga mertuanya kami tandang dan sekali lagi berlaku
dialog, dan sekali lagi kami berhadapan dengan 4 ekor jin milik Kak Mah, orang
yang bertanggungjawab keatas semua kerja-kerja jahanam ini sebagaimana dimaklumkan
oleh jin-jin terbabit. Pengakuan-pengakuan seperti ini lazimnya kita hanya
dengar tanpa perlu mempedulikannya. Yang penting bagaimana nak mengeluarkan
jin-jin ini.
Pengusiran secara
rukyah gagal mengeluarkan jin-jin ini. Dari pengakuan jin-jin ini, mereka
datang melalui jalan sihir pemujaan. 4 buah patung telah dipuja dan digantung
di dalam sebuah bilik di rumah Kak Mah. Kaedah rohaniah sekali lagi digunakan
dan ternyata patung-patung ini berjaya dimusnahkan dan Alhamdulillah kesemua 4
ekor jin keluar. 2 dimusnahkan dan 2 dibotolkan atas pilihan jin-jin itu
sendiri.
Namun keadaan berulang
selang beberapa hari. Sekali lagi En Nordin diserang. Peliknya setiap kali
diserang, sakitnya sama seperti selalu, walaupun penyerangnya adalah jin yang
berlainan. Ini adalah kerana jin lebih suka menyerang ke tempat yang sudah
sememangnya cedera dan ini adalah satu strategi jin yang cukup mudah. Tapi bagi
pesakit boleh menimbulkan kekeliruan kerana mereka mungkin menyangka jin-jin
sebelum ini belum musnah sedangkan hakikatnya mereka diserang jin yang lain.
Keadaan ini juga boleh menimbulkan fitnah kepada perawat-perawat.
Rawatan susulan kali
ini ternyata berbeza hasilnya. Bukan jin yang datang setelah dirukyah tetapi
makhluk kali ini mengakui bahawa beliau adalah Mak Mah sendiri. Kedatangannya
menuntut bela kerana kematian dan kehilangan jin-jinnya sebelum ini. Segala
usaha kami tidak berhasil, setiap bacaan ayat-ayat pemusnah juga tidak memberi
bekas. Nak buat cara khusus, tak tahu nak buat cara apa. Akhirnya kami minta
agar makhluk yang mendakwa dirinya Mak Mah ini keluar dan membuat perhitungan
pada hari lain. Alhamdulillah, beliau akur.
Keesokannya
perhitungan yang dijanjikan berlangsung di Pusat Rawatan Nasrullah. Kali ini
tanpa dirukyah, makhluk ini mulakan bicara, “di mana aku, kenapa bawa aku ke
sini!”. Tapi keadaan sudah berubah, makhluk ini mengakui bahawa ia adalah saka
Mak Mah yang terakhir, dan bukannya Mak Mah yang semalam. Pening juga kepala
kami kalau nak fikirkan semua ini.
Walau apapun tugas
kami ialah mengeluarkan jin ini dari tubuh En Nordin. Semua kaedah yang kami
gunakan tidak memberi hasil apa-apa. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk
bersembang dengan jin itu. Alhamdulillah akhirnya jin tersebut mula menginsafi
dirinya dan akhirnya beliau sendiri berazam, “walau apa pun yang terjadi aku
tetap nak keluar hari ini jugak!”. Banyak perkara yang kami bualkan dengan jin
berkenaan termasuklah rahsia-rahsia bagaimana mereka menyerang dan siapa yang
boleh diserang dan siapa yang tidak boleh diserang. Kami sempat merakamkan
melalui 2 telefon bimbit, pengakuan jin ini malangnya kedua-dua rakaman itu
hilang begitu sahaja.
Akhirnya jin ini
membuka rahsia dirinya, “hampa tak boleh keluarkan aku dengan cara sihir kerana
aku ni saka!”. Kami memaklumkan kepada jin berkenaan bahawa kami tidak boleh
memutuskan saka tanpa izin tuannya tapi kami boleh mencuba kiranya jin itu
sendiri mahu memutuskan perjanjiannya dengan manusia. Alhamdulillah jin
berkenaan akur dan terus memohon kepada Allah agar menolongnya lepas dari
genggaman manusia yang munafik katanya.
Setelah jin berkenaan
memberi izin agar perjanjiannya diputuskan dan kosnya ditanggung oleh En
Nordin, kami memulakan zikir pemutus saka. Sebaik zikir pemutus selesai, jin
itu begitu gembira. Apabila ditanya mengapa demikian. Jawabnya “aku bebas!!”.
Maka kami anjurkan kepadanya agar dia keluar dari tubuh En Nordin, Jin itu
bersetuju. Proses pengusiran dimulakan dengan kerelaan jin itu sendiri,
malangnya jin itu gagal keluar. Jin itu sendiri kebingungan mengapa dia tidak
boleh keluar.
Kami anjurkan
kepadanya agar diputuskan perjanjian itu dengan kaedah saka jamu. Jin itu
bersetuju tapi semasa pertengahan proses pemutusan, tiba-tiba jin itu bersuara,
“aku bukannya dari jenis saka jamu, tapi aku diikat”. Alhamdulillah, akhirnya
punca jin itu tidak boleh keluar dikenalpasti. Terpaksa kami meneruskan dengan
proses membuka ikatan secara kerohanian apabila cara rukyah ayat-ayat pembuka gagal.
Setelah proses membuka
ikatan secara zikrullah ini selesai, jin itu begitu gembira dan bila ditanya
kenapa, jawabnya “aku dah lepas!”. Sekali lagi kami anjurkan agar jin itu
keluar dari tubuh En Nordin dan jin bersetuju. Proses pengusiran dimulakan, sesekali
kelihatan jin itu menepis-nepis angin sambil berulang kali mengatakan “aku tak
mau”. Sekali lagi kami dikejutkan kerana jin ini gagal lagi untuk keluar dari tubuh En Nordin.
Jin itu sendiri kehairanan kerana padanya sudah tidak ada apa-apa perjanjian
atau ikatan tapi maseh tidak boleh keluar. Apabila kami tanyakan padanya apa
yang ditepis-tepisnya tadi, jin itu menjawab “bekas tuan aku nak ambil aku
balik, tapi aku tak mau!”.
Rawatan yang bertali
arus selama berjam-jam ini, dari pukul 10 pg hingga pukul 4 ptg, menyebabkan
semua perawat seramai 4 orang begitu keletihan dan akhirnya keempat-empat kami
perawat terlena keletihan tapi diawasi oleh jin. Keadaan dah terbalik,
selalunya kami mengawasi jin, tetapi kali ini, jin mengawasi kami sampai kami
semua bangun dari tidur. Masha Allah.
Sesudah solat asar, kami
perawat mula berbincang akan kebuntuan ini disertai jin berkenaan yang katanya
dari jenis jin kubur atau bahasa biasanya hantu kubur. Sekali sekala bermesyuarah bersama jin, masha
Allah. Tapi jin ini dalam tubuh manusia, bukannya rupa jin yang sebenar. Kalau
datang dengan rupanya yang sebenar, kami dah lari lintang pukang dah.
Semasa mesyuarah ini entah macam mana
terlintas di fikiran saya mengatakan adanya nazar yang belum tertunai. Segera
saya tanyakan kepada jin berkenaan, adakah dia pernah mendengar apa-apa
mengenai nazar. Jawab jin “aku pernah dengar depa sembang pasal pulut”.
Terkejut dengan jawapan itu, saya terus menelefon keluarga En Nordin untuk
kepastian, ternyata dugaan itu benar, memang mereka ada bernazar untuk membuat
tahlil dan menyediakan pulut udang dan pulut kuning untuk kenduri semasa tahlil
itu. Malangnya semasa mereka mengadakan kenduri tersebut, mereka lupa
menyediakan pulut kuning.
Apabila menyedari
keadaan ini, saya segera meminta mereka membeli pulut dan buat apa yang telah
mereka nazarkan. Keluarga En Nordin tidak bertangguh, terus melaksanakannya.
Sebaik mereka mulakan penyediaan pulut kuning ini, sekali lagi kami anjurkan
agar jin itu keluar tapi kali ini jin enggan keluar katanya “aku pun nak rasa
pulut tu jugak!”. Masha Allah jin dah minta pulut. Kami bertanya adakah ini
syarat supaya jin itu keluar. Jin itu menafikan, katanya dia hanya nak rasa
pulut tu sebelum dia keluar bukannya ada apa-apa.
Kami cuba mengelak
juga dari memenuhi permintaan jin ini sambil memperdengarkan bacaan dari Surah
Al-Baqarah, ternyata jin ini begitu seronok mendengar ayat-ayat dari Al Quran.
Apabila sampai tahap ini, Al Quran sudah tidak memberi kesan lagi sebagai
pemusnah sebaliknya penghibur kepada jin itu. Benarlah jin ini sudah
benar-benar insaf dan jiwanya sudah mula cenderung kepada Al Quran.
Kami tiada pilihan
lain selain meminta kepada keluarga En Nordin menghantarkan sebungkus pulut
kuning ke Pusat Rawatan kami kerana jin nak makan. Terkejut juga keluarga En
Nordin apabila saya kata macam tu tetapi mereka bawa juga sebungkus yang
kebetulan itulah bungkusan pulut yang terakhir. Yang lainnya sudah diedarkan
kepada orang ramai.
Ketika rombongan
keluarga En Nordin seramai 4 orang sampai ke Pusat Rawatan kami, mereka
terkejut kerana En Nordin sudah tidak sedar selama hampir 12 jam dan tidak
mengenali seorang pun ahli keluarganya, termasuk isterinya yang menunggu hari
untuk menimang cahaya mata sulong. Berderai airmata isterinya apabila jin itu
mengatakan yang ia tidak mengenalinya.
Akhirnya kami
mempelawa jin itu untuk menikmati pulut yang diidam-idamkannya. Jin itu dengan
tenang menjamah pulut bersama gulai telur itu. Setelah beberapa suap jin
bersuara “tak sedap pun”, tergelak juga lah kami semua yang ada kat situ.
Setelah hampir separuh hidangan itu dijamah, jin itu mula nampak seperti
mengantuk, segera saya arahkannya untuk basuh tangan. Jin itu pun bangun menuju
ke bilik air untuk membasuh tangannya. Tak lama kemudian kami terdengar jin tersebut
muntah dengan cara yang agak teruk tapi kami hanya membiarkannya sahaja.
Setelah hampir 5 minit
jin itu muntah barulah ia keluar tapi bukan lagi jin tapi En Nordin yang terus
memanggil “mak” dan bersalam dengan mertuanya. Ketika itu keadaan tiba-tiba
berubah menjadi drama airmata. Masha Allah, jin itu memang berpegang pada
janjinya akan keluar sesudah makan pulut kuning itu.
Alhamdulillah kini
semuanya sudah selesai semoga En Nordin dan isteri serta keluarganya berbahagia
selalu. Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang tak sempat kami ceritakan di sini
tapi rawatan kes ini mengambil masa hampir sebulan, terima kasih kami kepada En
Nordin kerana semangat juangnya yang tinggi, rela bekorban apa sahaja demi
memenangi kembali iman yang telah dirampas oleh musuh-musuh tradisi manusia ini.
Kami hanya boleh membantu mereka yang mahu dibantu.
Banyak perkara yang
kami sendiri pelajari semasa rawatan-rawatan ini, semoga ia memberi iktibar
kepada kita semua. Wabihi wallahua’lam.
Kepada
mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan
boleh hubungi kami ;
Pusat
Rawatan Islam Nasrullah
No 284,
Jalan Anggerik 4/24
Aman
Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah
Darul Aman
Tel :
017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp
: 011-32038737