Thursday, 23 April 2015

Iktibar ; Dendam Hantu Laut




Dendam dan cinta merupakan alat yang sangat biasa digunakan oleh pihak syaitan untuk mendekati, menguasai lantaran membinasakan kita. Kerap kali kita dengar jin atau syaitan menguasai manusia atas sebab-sebab ini dan kebanyakkannya begitu sukar untuk diusir keluar dari tubuh manusia yang sudah diresapi mereka kerana sikap-sikap ini boleh mengubah seseorang itu secara drastik.

Kali ini kami didatangi oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai seorang anggota polis yang kami namakan di sini sebagai En. Nordin, berasal dari Indera Kayangan, isterinya dari Darul Aman dan kini bertugas di Negeri Bawah Bayu. Kini beliau sudah bertugas di sana selama hampir 4 tahun.

Bagi En Nordin, terlibat dengan perkara-perkara mistik seperti ini tidak pernah terlintas di benak fikirannya hinggalah suatu hari beliau telah dihantar menyertai satu kursus kenaikan pangkat di sebuah pulau di perairan Sabah. Beliau bersama 3 orang sahabatnya yang lain mengambil kesempatan ini untuk menikmati panorama pantai dan laut yang sememangnya tarikan utama mana-mana pulau peranginan.

Keghairahan En Nordin bersama rakan-rakannya bermandi-manda terganggu apabila tidak semena-mena En Nordin terasa seperti terpijak sesuatu seperti kayu. Terlekat pada kakinya selumbar dari kayu yang dipijaknya di dasar laut tapi tidak beliau hiraukan. Tetapi En Nordin dapat merasakan ada satu kelainanan pada dirinya sebaik terpijak benda yang disangkanya kayu itu.

Sekembalinya dari bermandi-manda, badannya mula panas sejuk, nak kata demam tapi tak demam. Perutnya mula terasa seperti dipenuhi angin sehingga sangat menyakitkan manakala di belakang tengkuknya seperti dicengkam dan berat. 

Keadaan En Nordin yang tinggal berseorangan di Negeri Sabah dan dengan kehadiran musibah yang tidak diundang ini  menyebabkan beliau sukar mengendalikan dirinya sendiri. Keadaan ini dirujuk kepada seorang ustaz yang juga berasal dari semenanjung. Keadaan En Nordin yang keseorangan di perantauan memaksa beliau menumpang di rumah ustaz tersebut. Dari penjelasan ustaz ini, ternyata En Nordin diganggu syaitan dari laut, malangnya setiap usaha untuk memulihkan En Nordin gagal.

Atas nasihat pegawai atasannya, setelah melihat keadaan En Nordin yang seperti orang “bodoh”, beliau di perintah cuti dan diizinkan pulang ke semenanjung bagi memulihkan keadaannya kerana dikhuatiri En Nordin bertindak diluar jangkaan terutama semasa bertugas.

Semasa rukyah muqaddimah dibacakan, saya terlihat En Nordin sedang memijak belakang satu lembaga seperti ikan duyung di dalam air.  Setelah rukyah selesai dibacakan En Nordin mengatakan perutnya sangat tidak selesa dan lehernya amat berat. Ternyata dari penjelasan En Nordin ini, gangguan yang ada pada dirinya sudah bertukar status kepada pendamping. 

Setelah keadaan ini diperjelaskan, Alhamdulillah En Nordin dapat menerima hakikat bahawa syaitan-syaitan itu sudah mendampingi dirinya. Setelah semua syarat untuk pengusiran dipersetujui, maka kami mulakan zikir pemutus. Sebaik bermula zikir ini oleh seorang perawat Nasrullah, ternyata tubuh badan En Nordin mula memberi reaksi.

Kadangkala beliau kelihatan seperti sekor duyung sedang berenang, kadangkala kelihatan seperti ikan yang menggelupur setelah dicampak ke darat. Kadangkala beliau menjerit dan kadangkala beliau mengomel seorang diri dengan bahasa yang sukar difahami. Keadaan berterusan sehingglah tamat zikrullah. Setelah ditanyai En Nordin memaklumkan bahawa berat di belakang tengkuknya sudah hilang tetapi perutnya masih tidak berubah.

Dari penjelasan ini dapatlah difahami bahawa satu perjanjian telah mansuh dan masih tinggal satu lagi perjanjian yang perlu dimansuhkan. Seorang perawat lain ditugaskan untuk proses kedua iaitu untuk memastikan samada ianya dari jenis saka tangkal. Ternyata proses kedua juga gagal mengesan dan mengusir syaitan ini.

Memandangkan keadaan pesakit, perawat dan masa, rawatan terpaksa kami sambung keesokan harinya. Namun semasa zikrullah proses kedua ini, saya dimaklumkan oleh perawat terbabit bahawa beliau ternampak api lilin dan satu imej seolah-olah ditanam di bawah sebuah bangunan. Dari penjelasan perawat ini, ternyata ianya bermaksud sihir yang tertanam. Setelah proses mengesan dan memusnahkan sihir tertanam dilaksanakan, ternyata syaitan itu menggelupur seperti ayam disembelih apabila ayat-ayat pemusnah dibacakan.

Bagi En Nordin, beliau sedar setiap apa yang yang berlaku pada dirinya namun beliau tidak dapat mengawalnya. Semasa ayat-ayat pemusnah dibacakan En Nordin memuntahkan begitu banyak cecair kuning. Teruk juga keadaan beliau namun Alhamdulillah keadaan beliau beransur pulih sesudah itu.
Proses rawatan selesai namun malang tidak berbau, semasa perjalanan pulang dari Nasrullah, En Nordin diserang sekali lagi. Keadaan yang sama berulang namun ditambah dengan satu keadaan lain yang lebih menyedihkan. Kelakian En Nordin tidak boleh berfungsi.

Rawatan keesokannya mendapati syaitan itu masih tidak berpuashati setelah rencananya sebelum ini gagal. Ternyata kehadiran syaitan ini buat kali kedua ini lebih hebat, memaksa kami menggunakan kaedah terapi Al-Quran. Proses terapi yang lazimnya memakan masa yang panjang dan memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu, dipersetujui En Nordin.

Proses terapi Al-Quran merupakan satu proses memperdengarkan kepada pesakit surah-surah tertentu. Proses ini boleh dilakukan sendiri tapi bagi pihak Nasrullah, kami tidak menggalakkannya terutama pada peringkat awal kerana dikhuatiri berlaku insiden-insiden yang tidak dapat di kawal oleh pesakit atau keluarganya dan ini boleh mengundang padah.

Seperti yang kami jangkakan, proses ini mengundang berbagai-bagai reaksi dari syaitan yang diterjemahkan oleh perilaku pesakit. Memandangkan semua reaksi ini berlaku dalam keadaan En Nordin sedar, maka beliau lebih menderita. Inilah yang dimahukan oleh syaitan yang mengambil kesempatan membalas dendam terhadap beliau. Terapi pertama gagal kerana En Nordin tidak mampu lagi bertahan.

Sikap dan kesungguhan En Nordin untuk menentang syaitan dalam dirinya ini memang kami sanjung tinggi kerana jarang-jarang ditemui seseorang yang sekental En Nordin. Berkali-kali beliau terseksa namun semangat juangnya tetap tidak luntur. Akhirnya syaitan durjana tumpas juga apabila alunan Surah Yunus diperdengarkan. Syaitan itu menggelupur sekuat-kuatnya hingga bertaburan segala apa yang ada di dalam bilik rawatan kami, namun akhirnya En Nordin kembali seperti sediakala walaupun beliau kelihatan sangat letih.

Sesi terapi susulan diatur lagi sampai ke tahap yang memuaskan. Ternyata sesi terapi susulan masih ada tanda-tanda syaitan itu masih menuntut haknya, namun kehebatan Ayat-ayat Allah tidak dapat ditandingi. Syaitan tewas lagi tanpa sebarang perjuangan sengit. Terapi diteruskan hinggalah En Nordin mengakui tiada lagi apa-apa rasa pada anggota badannya semasa sesi terapi. Setelah pasti syaitan itu tewas, barulah proses pemulihan akibat sihir kelamin yang dikenakan terhadap En Nordin dimulakan.
 
Apa yang ingin kami iktibarkan di sini ialah bagaimana gangguan syaitan itu boleh berubah menjadi pendamping atau muqaddimah saka dan bagaimana syaitan  boleh menggunakan sihir ke atas manusia tanpa perantaraan manusia itu sendiri. Bagi kes En Nordin ini, tiada langsung penglibatan manusia hanya semata-mata kerana dendam syaitan itu sendiri. Ramai yang beranggapan bahawa duyung adalah sesuatu yang menarik tapi mungkinkah mereka ini dari bangsa syaitan yang di laknat Allah.

Wabihi wallahu’alam.



Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;


Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://prinasrullah.blogger.com

No comments:

Post a Comment