Thursday, 23 April 2015

Iktibar ; Rentetan Derita

Kisah iktibar ini merupakan sinambungan kepada kisah Dendam Hantu Laut yang kami kisahkan bulan lalu.
Setelah jin laut dapat kami keluarkan, ternyata ada gangguan lain pada diri En Nordin. Semasa dalam satu sesi rawatan kami, ibu mertua En Nordin juga hadir tetapi semasa bacaan rukyah untuk En Nordin, kami dapati mertua En Nordin ini kelihatan begitu gelisah seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Pada firasat kami, gangguan pada En Nordin kali ini ada kaitan dengan mertuanya Pn Zaleha.

Rukyah yang dibacakan keatas Pn Zaleha ternyata memberi kesan. Tidak sampai 10 minit, jin yang ada di dalam badan Pn Zaleha mula bersuara. Dari dialog dengan jin ini dapatlah kami simpulkan bahawa 3 ekor jin telah mendampingi Pn Zaleha dan rumah kediaman keluarga Pn Zaleha didiami bersama oleh sekumpulan jin dalam bilangan yang cukup  ramai.

Tawaran kami untuk memindahkan jin-jin  ke tempat lain di terima para jin. Setelah kerja-kerja pemulihan rumah dan pemutusan saka-saka ini dilaksanakan, barulah terasa ketenteraman rumah ini kembali dan keadaan En Nordin kembali seperti sediakala. Anak-anak kecil tidak lagi menangis ketakutan tidak tentu pasal.

Mengikut cerita Pn Zaleha, beliau memang mengetahui keadaan dirinya yang bermasalah,  sejak mereka berpindah ke rumah ini, tetapi agar tidak menakutkan ahli keluarganya, beliau telah memendamkan penderitaannya selama 9 tahun. Kerap juga beliau berubat tetapi masih belum berhasil.

Keadaan tenang tidak lama, serangan berlaku lagi selang beberapa hari. En Nordin mengatakan sakitnya datang semula dan begitu juga dengan mertuanya Pn Zaleha. Kami bertandang lagi ke rumah keluarga ini. Inilah kali pertama pengalaman saya dihalau oleh pesakit. Dengan tegas Pn Zaleha memarahi kami, “buat apa hampa mai! Nak kacau orang ja! Pi  balik!”. Malangnya helah jin yang sudah merasuk Pn Zaleha sudah kami baca. Rukyah dibacakan, ternyata berlaku lagi dialog dengan jin setelah di rukyah. Kali ini 5 ekor jin membuat pengakuan bahawa mereka tidak berpindah tempoh hari sebaliknya dilindungi 2 ekor jin lain yang telah datang secara sihir.

Hasil dialog juga mendapati bahawa En Nordin telah disihir seseorang pada hari perkahwinannya setahun yang lalu di rumah berkenaan, malangnya sihir ini adalah dari jenis sihir yang tertanam, bermakna ianya akan melalui proses pemulihan yang lebih sukar tambahan pula ianya ditanam betul-betul di tengah ruang tamu di mana pelamin persandingan mereka ditempatkan.

Proses penyingkiran jin-jin ini secara rukyah dengan ayat-ayat pemusnah tidak memberi kesan lantaran memaksa kami menggunakan kaedah rohaniah untuk memusnahkan tempat dan barang-barang sihir yang ditanam, iaitu terdiri daripada beberapa patung yang dikapan lengkap dan disimpan kemas dalam sebuah peti seumpama peti besi. Proses menanam barang-barang sihir ini dibuat oleh jin secara ghaib sebagaimana dimaklumkan oleh jin-jin yang terbabit.

Alhamdulillah, setelah zikir pemusnah sihir tertanam ini dilaksanakan, kami berjaya memasuki ruang yang disihir namun malangnya tidak dapat mengeluarkan jin-jin tersebut kerana mereka diikat. Dalam proses yang panjang ini, kebanyakan jin terbabit sudah mula merasa bersalah dan menyesal dengan perbuatan mereka, ada yang mula memohon ampun kepada Allah dan ada yang memohon kepada Allah agar melepaskan mereka dari ikatan sihir tersebut. Terharu juga mendengar jin-jin itu merayu ke hadrat Allah swt namun takdir Allah mendahului segalanya, jin-jin tersebut gagal dilepaskan dan terpaksa satu keputusan drastik diambil. Akhirnya setelah semua usaha gagal, jin-jin terbabit merelakan diri mereka disembelih agar tidak terus-menerus melakukan kezaliman. Masha Allah terharu pulak mendengar kenyataan jin-jin ini.
 
Setelah 7 ekor jin yang terlibat disembelih, kami menjadi terkejut kerana masih terdapat jin yang lain, apabila kami tanya kepadanya, jin itu menjawab bahawa tugasnya untuk menjaga barang-barang sihir yang di tanam itu. Jin berkenaan juga gagal dikeluarkan secara biasa mengakibatkan ia juga terpaksa disembelih. Setelah jin ini disembelih, kami sangkakan keadaan sudah selesai tetapi tidak berapa lama ada lagi beberapa jin yang datang memasuki tubuh En Nordin. Setelah ditanya, ternyata mereka adalah jin-jin yang tinggal berhampiran dengan kediaman ini. Masha Allah ada lagi jin-jin yang nak ambil kesempatan. Alhamdulillah dengan izin Allah, jin-jin ini setelah diperintahkan keluar, mereka akur.


Letih, dah tak tahu nak cakap apa, dalam perjalanan pulang kami terlena dalam kereta. Alhamdulillah pemandu kami tak lena sama.

Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Keesokan harinya En Nordin menelefon kami mengatakan sakitnya datang semula. Masha Allah, apa pulak lah masalahnya kali ni, bisik hati saya memikirkan ujian yang sedang menanti.

Selagi lagi kediaman En Nordin bersama keluarga mertuanya kami tandang dan sekali lagi berlaku dialog, dan sekali lagi kami berhadapan dengan 4 ekor jin milik Kak Mah, orang yang bertanggungjawab keatas semua kerja-kerja jahanam ini sebagaimana dimaklumkan oleh jin-jin terbabit. Pengakuan-pengakuan seperti ini lazimnya kita hanya dengar tanpa perlu mempedulikannya. Yang penting bagaimana nak mengeluarkan jin-jin ini.

Pengusiran secara rukyah gagal mengeluarkan jin-jin ini. Dari pengakuan jin-jin ini, mereka datang melalui jalan sihir pemujaan. 4 buah patung telah dipuja dan digantung di dalam sebuah bilik di rumah Kak Mah. Kaedah rohaniah sekali lagi digunakan dan ternyata patung-patung ini berjaya dimusnahkan dan Alhamdulillah kesemua 4 ekor jin keluar. 2 dimusnahkan dan 2 dibotolkan atas pilihan jin-jin itu sendiri.
Namun keadaan berulang selang beberapa hari. Sekali lagi En Nordin diserang. Peliknya setiap kali diserang, sakitnya sama seperti selalu, walaupun penyerangnya adalah jin yang berlainan. Ini adalah kerana jin lebih suka menyerang ke tempat yang sudah sememangnya cedera dan ini adalah satu strategi jin yang cukup mudah. Tapi bagi pesakit boleh menimbulkan kekeliruan kerana mereka mungkin menyangka jin-jin sebelum ini belum musnah sedangkan hakikatnya mereka diserang jin yang lain. Keadaan ini juga boleh menimbulkan fitnah kepada perawat-perawat.

Rawatan susulan kali ini ternyata berbeza hasilnya. Bukan jin yang datang setelah dirukyah tetapi makhluk kali ini mengakui bahawa beliau adalah Mak Mah sendiri. Kedatangannya menuntut bela kerana kematian dan kehilangan jin-jinnya sebelum ini. Segala usaha kami tidak berhasil, setiap bacaan ayat-ayat pemusnah juga tidak memberi bekas. Nak buat cara khusus, tak tahu nak buat cara apa. Akhirnya kami minta agar makhluk yang mendakwa dirinya Mak Mah ini keluar dan membuat perhitungan pada hari lain. Alhamdulillah, beliau akur.

Keesokannya perhitungan yang dijanjikan berlangsung di Pusat Rawatan Nasrullah. Kali ini tanpa dirukyah, makhluk ini mulakan bicara, “di mana aku, kenapa bawa aku ke sini!”. Tapi keadaan sudah berubah, makhluk ini mengakui bahawa ia adalah saka Mak Mah yang terakhir, dan bukannya Mak Mah yang semalam. Pening juga kepala kami kalau nak fikirkan semua ini. 

Walau apapun tugas kami ialah mengeluarkan jin ini dari tubuh En Nordin. Semua kaedah yang kami gunakan tidak memberi hasil apa-apa. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bersembang dengan jin itu. Alhamdulillah akhirnya jin tersebut mula menginsafi dirinya dan akhirnya beliau sendiri berazam, “walau apa pun yang terjadi aku tetap nak keluar hari ini jugak!”. Banyak perkara yang kami bualkan dengan jin berkenaan termasuklah rahsia-rahsia bagaimana mereka menyerang dan siapa yang boleh diserang dan siapa yang tidak boleh diserang. Kami sempat merakamkan melalui 2 telefon bimbit, pengakuan jin ini malangnya kedua-dua rakaman itu hilang begitu sahaja.

Akhirnya jin ini membuka rahsia dirinya, “hampa tak boleh keluarkan aku dengan cara sihir kerana aku ni saka!”. Kami memaklumkan kepada jin berkenaan bahawa kami tidak boleh memutuskan saka tanpa izin tuannya tapi kami boleh mencuba kiranya jin itu sendiri mahu memutuskan perjanjiannya dengan manusia. Alhamdulillah jin berkenaan akur dan terus memohon kepada Allah agar menolongnya lepas dari genggaman manusia yang munafik katanya.

Setelah jin berkenaan memberi izin agar perjanjiannya diputuskan dan kosnya ditanggung oleh En Nordin, kami memulakan zikir pemutus saka. Sebaik zikir pemutus selesai, jin itu begitu gembira. Apabila ditanya mengapa demikian. Jawabnya “aku bebas!!”. Maka kami anjurkan kepadanya agar dia keluar dari tubuh En Nordin, Jin itu bersetuju. Proses pengusiran dimulakan dengan kerelaan jin itu sendiri, malangnya jin itu gagal keluar. Jin itu sendiri kebingungan mengapa dia tidak boleh keluar.

Kami anjurkan kepadanya agar diputuskan perjanjian itu dengan kaedah saka jamu. Jin itu bersetuju tapi semasa pertengahan proses pemutusan, tiba-tiba jin itu bersuara, “aku bukannya dari jenis saka jamu, tapi aku diikat”. Alhamdulillah, akhirnya punca jin itu tidak boleh keluar dikenalpasti. Terpaksa kami meneruskan dengan proses membuka ikatan secara kerohanian apabila cara rukyah ayat-ayat pembuka gagal.
Setelah proses membuka ikatan secara zikrullah ini selesai, jin itu begitu gembira dan bila ditanya kenapa, jawabnya “aku dah lepas!”. Sekali lagi kami anjurkan agar jin itu keluar dari tubuh En Nordin dan jin bersetuju. Proses pengusiran dimulakan, sesekali kelihatan jin itu menepis-nepis angin sambil berulang kali mengatakan “aku tak mau”. Sekali lagi kami dikejutkan kerana jin ini  gagal lagi untuk keluar dari tubuh En Nordin. Jin itu sendiri kehairanan kerana padanya sudah tidak ada apa-apa perjanjian atau ikatan tapi maseh tidak boleh keluar. Apabila kami tanyakan padanya apa yang ditepis-tepisnya tadi, jin itu menjawab “bekas tuan aku nak ambil aku balik, tapi aku tak mau!”.

Rawatan yang bertali arus selama berjam-jam ini, dari pukul 10 pg hingga pukul 4 ptg, menyebabkan semua perawat seramai 4 orang begitu keletihan dan akhirnya keempat-empat kami perawat terlena keletihan tapi diawasi oleh jin. Keadaan dah terbalik, selalunya kami mengawasi jin, tetapi kali ini, jin mengawasi kami sampai kami semua bangun dari tidur. Masha Allah.

Sesudah solat asar, kami perawat mula berbincang akan kebuntuan ini disertai jin berkenaan yang katanya dari jenis jin kubur atau bahasa biasanya hantu kubur.  Sekali sekala bermesyuarah bersama jin, masha Allah. Tapi jin ini dalam tubuh manusia, bukannya rupa jin yang sebenar. Kalau datang dengan rupanya yang sebenar, kami dah lari lintang pukang dah.

Semasa mesyuarah ini entah macam mana terlintas di fikiran saya mengatakan adanya nazar yang belum tertunai. Segera saya tanyakan kepada jin berkenaan, adakah dia pernah mendengar apa-apa mengenai nazar. Jawab jin “aku pernah dengar depa sembang pasal pulut”. Terkejut dengan jawapan itu, saya terus menelefon keluarga En Nordin untuk kepastian, ternyata dugaan itu benar, memang mereka ada bernazar untuk membuat tahlil dan menyediakan pulut udang dan pulut kuning untuk kenduri semasa tahlil itu. Malangnya semasa mereka mengadakan kenduri tersebut, mereka lupa menyediakan pulut kuning.
Apabila menyedari keadaan ini, saya segera meminta mereka membeli pulut dan buat apa yang telah mereka nazarkan. Keluarga En Nordin tidak bertangguh, terus melaksanakannya. Sebaik mereka mulakan penyediaan pulut kuning ini, sekali lagi kami anjurkan agar jin itu keluar tapi kali ini jin enggan keluar katanya “aku pun nak rasa pulut tu jugak!”. Masha Allah jin dah minta pulut. Kami bertanya adakah ini syarat supaya jin itu keluar. Jin itu menafikan, katanya dia hanya nak rasa pulut tu sebelum dia keluar bukannya ada apa-apa. 

Kami cuba mengelak juga dari memenuhi permintaan jin ini sambil memperdengarkan bacaan dari Surah Al-Baqarah, ternyata jin ini begitu seronok mendengar ayat-ayat dari Al Quran. Apabila sampai tahap ini, Al Quran sudah tidak memberi kesan lagi sebagai pemusnah sebaliknya penghibur kepada jin itu. Benarlah jin ini sudah benar-benar insaf dan jiwanya sudah mula cenderung kepada Al Quran. 

Kami tiada pilihan lain selain meminta kepada keluarga En Nordin menghantarkan sebungkus pulut kuning ke Pusat Rawatan kami kerana jin nak makan. Terkejut juga keluarga En Nordin apabila saya kata macam tu tetapi mereka bawa juga sebungkus yang kebetulan itulah bungkusan pulut yang terakhir. Yang lainnya sudah diedarkan kepada orang ramai.

Ketika rombongan keluarga En Nordin seramai 4 orang sampai ke Pusat Rawatan kami, mereka terkejut kerana En Nordin sudah tidak sedar selama hampir 12 jam dan tidak mengenali seorang pun ahli keluarganya, termasuk isterinya yang menunggu hari untuk menimang cahaya mata sulong. Berderai airmata isterinya apabila jin itu mengatakan yang ia tidak mengenalinya.

Akhirnya kami mempelawa jin itu untuk menikmati pulut yang diidam-idamkannya. Jin itu dengan tenang menjamah pulut bersama gulai telur itu. Setelah beberapa suap jin bersuara “tak sedap pun”, tergelak juga lah kami semua yang ada kat situ. Setelah hampir separuh hidangan itu dijamah, jin itu mula nampak seperti mengantuk, segera saya arahkannya untuk basuh tangan. Jin itu pun bangun menuju ke bilik air untuk membasuh tangannya. Tak lama kemudian kami terdengar jin tersebut muntah dengan cara yang agak teruk tapi kami hanya membiarkannya sahaja.

Setelah hampir 5 minit jin itu muntah barulah ia keluar tapi bukan lagi jin tapi En Nordin yang terus memanggil “mak” dan bersalam dengan mertuanya. Ketika itu keadaan tiba-tiba berubah menjadi drama airmata. Masha Allah, jin itu memang berpegang pada janjinya akan keluar sesudah makan pulut kuning itu. 

Alhamdulillah kini semuanya sudah selesai semoga En Nordin dan isteri serta keluarganya berbahagia selalu. Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang tak sempat kami ceritakan di sini tapi rawatan kes ini mengambil masa hampir sebulan, terima kasih kami kepada En Nordin kerana semangat juangnya yang tinggi, rela bekorban apa sahaja demi memenangi kembali iman yang telah dirampas oleh musuh-musuh tradisi manusia ini. Kami hanya boleh membantu mereka yang mahu dibantu.

Banyak perkara yang kami sendiri pelajari semasa rawatan-rawatan ini, semoga ia memberi iktibar kepada kita semua. Wabihi wallahua’lam.



Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ada sebarang kemusykilan boleh hubungi kami ;
Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737

No comments:

Post a Comment