Bermula dengan kedatangan seorang
suri rumah saya namakan sebagai Nazirah, yang sekian lama menderita bersama
suaminya. Badannya kurus kering seperti sekian lama tidak makan tetapi
hakikatnya beliau sangat kuat makan seperti mana yang dikhabarkan suaminya.
Kedatangannya seperti orang bodoh
dan tidak bermaya dan seperti tidak
mengerti suatu apapun. Ternyata bacaan rukyah memaksa makhluk halus yang
bertapak di dalam tubuhnya mula bertindak-balas. Matanya mula meliar dan dengan
tiba-tiba, beliau bingkas bangun dan melarikan diri secepat kilat. Pintu gril
pusat rawatan ditolak begitu sahaja walaupun ianya berselak. Kelam kabut kami
perawat termasuk suaminya mengejar beliau. Alhamdulillah beliau hanya berdiri
terpacak seperti sebuah patung di
tengah-tengah jalan di hadapan pusat rawatan kami, terpaksalah suaminya
menggendongnya masuk semula.
Seperti kebiasaannya makhluk ini
akan menjerit-jerit, memaki-hamun dan bertindak agressif namun kami tidak melayani
karenahnya. Jin yang merasuk ini
langsung tidak mahu bekerjasama untuk berbicara. Selalunya teknik mendera jin hanya
kami gunakan sebagai pilihan terakhir
sekiranya kesemua teknik lain gagal. Jin ini rupa-rupanya makan pujuk juga dan
akhirnya jin itu mula menangis terisak-isak apabila ditanyakan soalan-soalan
kepadanya namun ia kelihatan seperti tidak mahu berbicara di hadapan khalayak
ramai maka segera saya pegang lengannya dan menarik beliau ke bilik rawatan lain
setelah diizinkan suaminya.
Berseorangan dengan jin ini saya
memujuk lagi dengan menjanjikan kebebasan baginya dari genggaman tuannya.
Ternyata jin tersebut tersentak dengan tawaran saya lalu bertanya dengan nada
yang hambar “boleh ke? Seolah-olah ia tidak percaya perkara seperti itu boleh
dilaksanakan lalu ia kembali membisu. Seperti
tidak mengendahkan tawaran saya maka saya katakan padanya “baiklah kalau
kau tak mau maka terpulanglah!!”, lalu saya bangun meninggalkannya. Sebaik
sahaja saya mula beredar terus sahaja jin itu bersuara “nanti dulu!!”. Dari
dialog ini, jin tersebut meminta saya mendapat penjelasan masalah ini dari
suami pesakit dan mahu saya membantu
melepaskannya dari genggaman tuannya yang katanya zalim. Masha Allah,
jin mengatakan manusia zalim.
Ahli keluarga pesakit yang hadir
saya jemput ke dalam bilik rawatan dan mula bertanya apakah yang telah berlaku.
Menurut suami Nazirah, keluarga isterinya ini telah mengalami masalah
perpecahan keluarga yang teruk bermula apabila seorang kakak Nazirah berkahwin
dengan seorang lelaki. Perkahwinan ini ditentang oleh kebanyakan ahli keluarga
mereka kerana lelaki tersebut merupakan seorang pemabuk, suka berfoya-foya dan
sememangnya tidak pernah dilihat mendirikan solat tetapi lebih berbangga dengan
ilmu kebatinan dan perbomohan yang ada padanya.
Walaupun ramai ahli keluarga
tidak bersetuju, ia amat menghairankan kerana ibubapa Nazirah dan kakaknya
tiba-tiba sahaja menerima lamaran dengan tangan terbuka. Setelah berkahwin
bermulalah episod serang menyerang sesama
ahli keluarga. Bagi mereka yang tidak sehaluan dengan lelaki ini akan
menderita teruk terutama Nazirah, suaminya dan ibu mereka. Maka jadilah
keluarga ini berpuak-puak sesama sendiri. Motif lelaki menggunakan ilmunya
menyerang Nazirah dan ibunya supaya mereka datang melutut padanya memohon maaf
dan tidak lagi menentang kemahuannya. Na`uzubillah, mertua dan adik ipar
sendiri disihir dengan sihir penunduk supaya melutut padanya.
Jin di dalam badan Nazirah sudah
berpaling tadah malangnya usaha untuk mengeluarkannya gagal. Cubaan untuk
memindahkan jin tersebut ke dalam mediator juga gagal, ternyata jin tersebut
telah diikat dengan begitu kuat ke tubuh Nazirah. Sememangnya sihir jenis
ikatan seumpama ini hanya boleh dirawat setelah
ikatan itu dibuka.
Sebagaimana yang telah dijanjikan
pada jin tersebut, saya memulakan pembacaan ayat-ayat Al-Quran untuk memutuskan
ikatan-ikatan tersebut. Sebaik selesai
bacaan maka saya makrifatkan supaya ikatan itu putus. Ketika inilah
Nazirah terpelanting dan terlentang dengan begitu kuat melebihi bantal yang
kami sediakan dan kepalanya terhantuk pada dinding dengan begitu kuat. Masha
Allah, Nazirah terus sedar dari kerasukan dan menangis di ribaan ibunya kerana
kepalanya terlalu sakit.
Setelah kesakitan dan tangisan
Nazirah reda barulah rawatan kami teruskan. Ruhaniah lelaki terbabit segera
kami seru ke dalam mediator setelah ayat-ayat pemecah benteng dibacakan. Beliau
terus menundukkan kepala sebaik berada di dalam mediator, namun beliau tetap
berdegil tanpa mahu bertolak ansur. “Kalau hang boleh sakitkan orang, kami pun
boleh sakitkan hang!” ujar saya kerana sudah tidak ada jalan keluar selain dari
membalas perbuatannya yang zalim.
Sebaik sahaja saya mulakan
zikrullah, lelaki tersebut mula gelisah dan menggelabah. Dia mula mengeluh
kerana kepanasan dan keadaannya makin lama makin teruk dan terdesak. Saya
teruskan juga zikrullah mudah-mudahan beliau mendapat pelajaran dan saya hanya
berhenti setelah lelaki itu mula mengalah.
Ketika saya berzikir ini, zahir
lelaki tersebut sememangnya kepanasan dan beliau tidak mampu menanggungnya lalu
cuba menghubungi rakannya di pantai timur untuk memulihkan keadaan. Beliau
telah tergesa-gesa memandu kereta sambil menanggung penderitaan yang amat
sangat ke destinasi yang hanya dia mengetahuinya namun tidak kesampaian kerana
tubuhnya membengkak dan kesakitan hinggakan beliau tidak dapat meneruskan
perjalanan. Akhirnya beliau terpaksa
juga menghubungi seorang saudara kepada isterinya yang paling hampir dengan
lokasi beliau berhenti agar menolongnya sambil berpesan agar kejadian ini
jangan dimaklumkan kepada sesiapa. Namun permintaan ini menimbulkan kecurigaan
dan akhirnya tembelangnya pecah dan berita ini sampai juga kepada kami tetapi
semasa sesi rawatan yang lain.
Selepas sesi rawatan seterusnya
barulah Nazirah pulih sepenuhnya namun kakaknya yang menjadi mangsa sihir
penunduk masih tidak dapat dirawat kerana dirinya sendiri tidak pernah percaya
bahawa ia sedang sakit. Inilah masalah utama sihir ini.
Kami didatangi beberapa kes
seumpama ini berturut-turut selepas Nazirah dan dengan berbagai bentuk
penderitaan kepada mangsa dan ahli keluarga mereka. Ada suami yang menceraikan
isterinya kerana terlalu ikutkan perempuan lain, ada anak yang tidak mengakui
ibunya dan berani mengancam akan menendang ibunya sendiri, ada juga anak yang memaki
hamun ibunya sendiri, ada isteri yang menyepak suaminya di hadapan ibubapa
sendiri, ada isteri yang dibelasah dan
dibaling dengan spanar, ada isteri yang suaminya tidak mahu lagi bersentuhan
kerana dianggap seperti najis “babi” , ada juga isteri yang dihentak kepalanya ke dinding, ada suami
yang membawa parang dan golok apabila tidur bersama isterinya kerana menganggap
isterinya curang, ada suami yang sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak
ditengah-tengah malam kerana panggilan telefon dari kekasih dan ada juga orang
yang paling dibenci tiba-tiba dicintai hingga sanggup bergolok-bergadai.
Kesemua ini adalah antara penderitaan
yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang menjadi mangsa kekejaman dan
kezaliman pengamal sihir penunduk ini yang pastinya sudah hilang ras kemanusian
tetapi penuh dengan ras kesyaitanan. Adalah sukar untuk melumpuhkan terus sihir
jenis ini kerana mangsa sihir tidak pernah sedar bahawa dirinya disihir dan
sekiranya ada orang yang memberitahunya, pasti orang tersebut dianggap sebagai musuhnya
sedangkan orang yang menyihirnya dianggap kawan yang terbaik.
Sekiranya didapati ada di kalangan keluarga atau
kawan-kawan kita terkena sihir jenis ini harap ada yang sudi membantu kerana
mereka tidak mungkin mampu membebaskan diri mereka sendiri dan salah satu
kaedah untuk membantu mereka ialah dengan membacakan ayat-ayat ini secara
berterusan kepada air atau makanan lalu diberikan kepada pesakit secara
diam-diam dan sekiranya bimbang diketahui pesakit maka memadailah ahli keluarga
di dalam rumah itu mengamalkan ayat-ayat ini secara berterusan mudah-mudahan
sihir yang dikenakan itu terbatal. Ayat-ayat
tersebut ialah ayat 61 surah Al-An`am, ayat 57 surah Hud dan ayat 118
surah Al-A`raf. Sekiranya ada tanda-tanda perubahan yang positif pada
diri pesakit, segeralah dirawat kerana
sihir ini hanya akan berjaya ditangani sepenuhnya sekiranya mangsa sedar
dirinya sakit dan mahu dirawat.
Wabihi wallahu a`lam.
Pusat Rawatan Islam Nasrullah
No 284, Jalan Anggerik 4/24
Aman Jaya, 08000 Sungai Petani,
Kedah Darul Aman
Tel : 017-5603057 / 011-29509104
Whatsapp : 011-32038737
https://www.facebook.com/Pusat-Rawatan-Islam-Nasrullah
https://prinasrullah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment